KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) terus mengorak langkah ke hadapan dalam usaha melestarikan alam sekitar menerusi inisiatif Ekosetiawangsa.
Inisiatif tersebut merupakan usaha menjadikan kawasan Setiawangsa sebagai ‘urban eco-district’ yang mengamalkan gaya hidup lestari.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, ia merangkumi aspek tenaga hijau, mobiliti rendah karbon, pengurusan sisa kitaran dan komuniti lestari.
“Dengan mengamalkan gaya hidup lestari, Setiawangsa akan menjadi satu kawasan yang neutral karbon, hijau dan inklusif di mana faedahnya dapat dinikmati oleh setiap penduduk,” katanya selepas majlis perasmian Karnival Alam Kita 2024 yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, pada Ahad.