PROGRAM PELAKSANAAN SEKOLAH MAMPAN

PELAKSANAAN PROGRAM SEKOLAH MAMPAN: Taklimat Amalan Rendah Karbon kepada Sekolah-sekolah Kuala Lumpur

Pada 11 Jun 2024, satu sesi Taklimat Amalan Rendah Karbon telah dilaksanakan dengan jayanya bertempat di Auditorium DBKL. Sesi ini melibatkan guru-guru (Setiausaha Kokurikulum) dari sekolah-sekolah di Kuala Lumpur. Program ini dianjurkan oleh Kelab Duta Rimba Malaysia dengan kerjasama Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21KL) dan Jabatan Pendidikan WPKL.

Program separuh hari ini merangkumi beberapa pengisian termasuk sesi penerangan dan taklimat berkaitan pelaksanaan program sekolah mampan, perkongsian pengalaman dari dua Guru Ikon Sekolah Mampan 2022/2023, pengenalan SDG oleh Urbanice, serta pelaksanaan dan pertandingan tiga program rendah karbon oleh Kelab Duta Rimba.

Selaras dengan Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050 dan matlamat menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar Neutral Karbon menjelang tahun 2050, program ini merupakan salah satu inisiatif amalan terbaik yang perlu diwar-warkan. Dengan melibatkan peringkat sekolah, murid-murid dan pendidik boleh bertindak sebagai ejen perubahan kepada masyarakat Kuala Lumpur. Semua pihak perlu berganding bahu dan memainkan peranan dalam mencapai matlamat ini. Penyertaan dalam program ini memberi peluang kepada warga sekolah untuk menjadi pemangkin dalam pembentukan kemenjadian murid. Semoga usaha ini membawa manfaat kepada warga Kuala Lumpur dan mewujudkan persekitaran yang lebih baik dan berkualiti.

Seiring dengan SDG 2030, peranan pendidikan (SDG 4) sangat penting untuk menyokong pencapaian matlamat pembangunan mampan, yang mengambil kira keperluan generasi akan datang. Pendidikan juga memastikan warga sekolah memenuhi keperluan global. Oleh itu, peranan pendidik dalam memperkasakan diri dengan ilmu pedagogi alam sekitar amat penting agar dapat digunapakai dalam pengajaran dan pembelajaran kurikulum dan kokurikulum.

Pada Majlis Anugerah Sekolah Mampan yang lepas, Datuk Bandar Kuala Lumpur menetapkan sasaran penglibatan 50% dari jumlah keseluruhan sekolah di Kuala Lumpur (146 sekolah) dalam program Sekolah Mampan. Program ini dilihat sebagai satu inisiatif positif dan mendapat sokongan padu dari JPWP KL. Pada sesi kali ini, program disempurnakan oleh Encik Zainudin bin Mohamad, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur.

Dengan perancangan dan pelaksanaan program sekolah mampan yang dirangka, diharapkan lebih banyak sekolah akan terlibat dalam program ini. Sekaligus, program Sekolah Mampan Kuala Lumpur ini dapat menjadi wadah untuk membentuk pelajar, guru, warga sekolah, dan masyarakat setempat yang berilmu dan mengamalkan teknologi kelestarian.

TERIMA KASIH kepada Jawatankuasa Sekolah Mampan, rakan-rakan kongsi LA21 KL, serta guru-guru yang hadir pada sesi kali ini. Penyertaan dan sokongan semua adalah amat penting dalam merealisasikan matlamat untuk memupuk amalan rendah karbon dikalangan warga sekolah.

Facebook
Twitter
LinkedIn
Twitter

artikel berkaitan

ms_MYMalay